SK TUNKU MAHMOOD 1, KLUANG
SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN

906, Jalan sekolah, 86000 Kluang, Johor Darul Ta'zim | Tel: 077711458 | Fax: 077721458 | Email: jbb2049@moe.edu.my

Kata Aluan Guru Besar




Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanawata’ala kerana masih diberi kesihatan dan kesempatan untuk kita sama-sama menabur bakti dan berbudi kepada anak bangsa di Tanah Air tercinta ini.

Mudah-mudahan pada tahun 2019 ini, kita dapat melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan dengan lebih baik lagi. Terima kasih kepada semua warga STM1 yang telah memberikan khidmat yang cemerlang sepanjang tahun 2018 dalam usaha menjayakan pelbagai program dan aktiviti selaras dengan kehendak dan matlamat  Kementerian Pendidikan Malaysia yang inginkan kegiatan dan aktiviti di sekolah  menjadi pemangkin kepada pembentukan insan kamil seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Buku Pengurusan merupakan suatu inisiatif untuk membantu meningkatkan kualiti pengurusan sekolah dan kerjaya guru-guru /staf STM1 dalam merealisasikan usaha ke arah mempertingkatkan pengetahuan guru-guru dalam bidang pengurusan sekolah dan tugasan guru-guru / staf. Marilah kita sama-sama bergerak sederap mengharungi cabaran tahun 2019 ini dengan memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan menyuntik semangat baru yang lebih kental.

Sudah menjadi lumrah, dalam inisiatif untuk kita menggapai sesuatu yang murni pastinya menagih pelbagai komitmen yang jitu dan padu daripada semua pihak.  Pelbagai pendekatan diaplikasi dalam menjana kecemerlangan ini.  Oleh itu, bonda berharap agar semua guru dan pihak yang terlibat dapat merujuk buku pengurusan ini dalam melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan lancar untuk menjana kecemerlangan sekolah ini dalam semua bidang pengurusan, kurikulum, pembangunan sahsiah,kemanjadian murid, kokurikulum dan sukan. Sesungguhnya sama-samalah kita beriltizam yang tinggi untuk menjadikan STM1 ini cemerlang dalam semua bidang. Sekolah kita mempunyai tenaga pengajar yang hebat yang tentunya mempunyai visi dan misi yang seiring sebagaimana hasrat dan harapan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Akhir kata, selamat menjalankan tugas sebagai pendidik, anggaplah segala dugaan, cabaran  dan rintangan adalah pembakar semangat untuk mendidik anak bangsa. Bersama-sama kita sederap mengatur langkah ke arah merealisasikan STM1 terus cemerlang, gemilang dan terbilang di tahun 2019 ini.

“ Selamat Bertugas Dengan Penuh Komitmen, Ikhlas  Dan Dedikasi ”.
“ Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul ”.

Saya yang menjalankan amanah,



(SUPIAH BINTI OTHMAN )